Tuesday, April 12, 2011

Kisah Benar : Kematian adik saiful, apa ceritanya?


Kematian adik Saiful Syazani Saiful Sopfidee telah menggemparkan Negara. Pembawaan carita oleh media telah mengejutkan semua pihak termasuk saya yang menjadi mangsa kepada penceritaan media berkenaan isu tersebut. Peristiwa berlaku apabila seorang guru agama sebuah sekolah dikatakan telah mendera seorang pelajar berusia 7 tahun hingga menyebabkan kematian pelajar tersebut.(gambar sekolah Al-furqan, tempat kejadian )

Boleh kita baca bagaimana ‘jahat’nya guru tersebut dengan pendedahan media seperti,
“Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung” – harian metro- (boleh baca lanjut dengan tajuk, cikgu ambil nyawa )
“Saiful Syazani meninggal dunia selepas tiga hari dilaporkan koma, akibat dibelasah guru yang juga seorang warden di sekolah agama persendirian selepas disyaki mencuri RM7 di asrama sekolah. Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa diikat kedua-dua tangan pada tingkap dan dibelasah bertalu-talu sebelum dihempas ke dinding hingga menyebabkannya mengalami pendarahan organ dalaman” – JPM Malaysia -
Setelah kita mengikuti kes tersebut melalui media yagn membuat liputan, maka kita telah menghukum dengan rasminya bahawa sungguh jijik dan jahat perbuatan guru tersebut.
Namun disana, saya masih curiga akan kisah yang berlaku. Dengan izin dan kesempatan yang diberikan Allah, telah menggerakkan hati saya dan pimpinan GAMIS ( Akram dan Nazry ) melawat tempat kejadian dan rumah arwah di Jejawi, Perlis. Kami kesana atas kerja rasmi GAMIS dan berkesempatan menziarahi rumah arwah.
CERITA SEBENAR
Setibanya kami di sekolah berkenaan, ustaz waqar ( sahabat baik kepada guru agama yang dituduh ‘membunuh’)menyambut kami dengan mesra dan penuh ukhwah. Kami terus dibawa kerumah ayah angkat arwah terletak lebih kurang 6km dari sekolah berkenaan. Sepanjang perjalanan, ustaz waqar telah mencerikan kisah sebenar kejadian.

“ adik saiful(arwah) merupakan seorang yang mesra dengan orang. Dia agak aktif disekolah dan pernah menjadi Johan pertandingan azan PASTI peringkat negeri Perlis(gambar hadiah yang dimenangi). Setelah masuk ke darjah 1, dia tinggal diasrama. Namun timbul beberapa kes disiplin sepanjang adik ni

tinggal diasrama hinggalah pada kemuncaknya dia didapati mencuri wang rakannya berjumlah RM7. Maka dia telah dipanggil oleh ustaz (yang dituduh) yang merupakan warden asrama ke bilik warden. Ustaz telah bertanya kepada adik saiful tentang kecurian wang rakannya, dan dia mengaku berbuat demikian. Semasa pertanyaan diajukan, ustaz berkenaan telah mengikat kedua-dua tangan adik saiful dibahagian hadapan, bukan belakang. Namun sepanjang berada dibilik warden tersebut, TIDAK ADA penderaan fizikal yang berlaku sebagimana yang dilaporkan.

Sebaliknya ikatan tangan tersebut dibuka setelah ustaz berkenaan ingin keluar dan mengurung adik saiful dalam bilik berkenaan. Setelah 2 jam ditinggalkan, seorang lagi warden, ustaz y telah membuka bilik berkenaan dan mendapati adik saiful terbaring diatas toto sambil menggigil. Mulanya ustaz y mengesyaki adik saiful terkena sawan dan kacing gigi, namun beliau sendiri tidak pasti akan penyakit yang menyerang. Lantas ustaz Y terus membawa adik saiful ke hospital Kangar, namun pihak hospital tidak dapat menerima pesakit kerana banjir melanda Bandar Kangar pada masa itu. Seterusnya adik saiful dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star dan terus dimasukkan ke wad ICU.

Pada malam kejadian itu juga ustaz h telah menemui ayah angkat adik saiful dan memohon maaf atas kesilapan dia mengurung arwah selama 2 jam. Sebelum ustaz h pergi kehospotal, dia terkejut dengan berita bahawa adik saiful dimasukkan ke icu, lantas dia terus menunaikan solat hajat”.

Selang 3 hari dari hari kejadiaan, adik Saiful dipanggil oleh Allah untuk mengadapnya pada jam 8pagi hari ahad.”

Begitulah cerita sebenar kejadian kematian adik saiful yang telah diceritakan oleh rakan baik ustaz h. Kami terus pening kerana banyak percanggahan maklumat yang dibaca melalui media sebelum daripada itu. Kami terus sampai kerumah Abang Zamri(ayah angkat adik saiful). Ketibaan kami disambut mesra oleh abang zamri yang kelihatan pasrah dan redha akan ketentuanNya. Adik saiful tinggal bersama keluarga Abang Zamri sejak umur 2 tahun setengah, setelah bapa adik saiful tidak mahu membelanya setelah kematian ibu adik saiful. “ dia seorang yang berani dan tak takut apa yang orang kata. Dia memang keras dan keberanian dia tak padan dengan umur dia” cerita abang zamri.

Setelah setengah jam berbual dengan abang zamri, kami pun memohon izin untuk pulang. GAMIS sempat menyampaikan sedikit bantuan kepada abang zamri atas musibah yang menimpa. Kami doakan agar abang zamri dan keluarga tabah dan sabar menempuh ujian yang mendatang. ( gambar Abang Zamri, senyum tanda terima kasih )

Semasa perjalan pulang,

ustaz waqar sempat menyambung ceritanya tadi. Beliau turut mengaitkan kes ini telah menjadi suatu isu

politik kepartian kerana sekolah berkenaan adalah dibawah parti PAS. Maka sebab itu, pelbagai cerita pelik yang timbul. Saya rasakan apa yang diceritakan oleh ustaz w adalah benar setelah melihat laporanforensik yang diberitakan bahawa punca kematian adik saiful adalah kerana kekurangan oksigen dan pendarahan dalam otak. Maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku, namun nyata sekali tidak ada kesan LEBAM akibat pukulan yang berlaku sebagimana yang dilaporkan oleh media. Lihat laporan ini, meninggal akibat kekurangan oksigen.

Kami juga dibawa melihat bilik warden yang dikatakan tempat adik saiful dikurung oleh warden berkenaan. Bilik tersebut bukan hanya pejabat, bahkan tempat tidur ustaz berkenaan. Banyak lagi persoalan yang timbul disebalik kejadian berkenaan, namun Allah sahaja yang mengetahui kebenarannya.

Apa yang sangat menyedihkan ialah apabila masyarakat telah ‘menghukum mati’ peribadi ustaz berkenaan yang hanya dituduh dan ditohmah oleh media yang sanga berat sebelah. Yang lebih teruk lagi bila politikus menjadikan isu ini sebagai senjata politik hingga mendesak sekolah agama berkenaan ditutup.

GAMIS bukan membela tindakan ustaz bekenaan, namun apa yang kami harapkan ialah keadilan mesti diberikan kepada mereka yang terlibat. Media jangan cepat mnghukum hingga masyarakat pada hari ini memberi tanggapan yang sangat negatif kepada sekolah agama rakyat. GAMIS juga mendesak agar jangan libatkan politik yang melampau dalam kes ini hinggalah mahkamah yang menentukan siapa yang bersalah dalam kes berkenaan. Kita doakan agar keadialan diberikan kepada mereka yang berhak, dan pembalasan yang sepatutunya kepada yang zalim.

(dipetik dari laman rasmi GAMIS : mygamis.net, tajuk artikel : kematian adik saiful, apa ceritanya?)

http://www.mygamis.net/2011/04/kematian-adik-saiful-apa-ceritanya.html


Friday, February 25, 2011

Sahabatku Yang Bernama Nabil


“Jauh perjalanan luas permandangan” kata orang tua, bukan sahaja luas pandangan tetapi menambah jaringan teman-teman baru serta memberi pengalaman yang sering kali mematangkan diri dalam perjalanan mencapai usia dewasa. Fenomena ini sering kali berlaku kepada setiap individu tidak juga terlepas kepada diri yang menulis artikel ini.


Teman adalah sebuah refleksi, siapa kita dan siapa kawan kita. Setiap orang akan memilih seseorang yang memiliki kecenderungan yang sama, salah memilih kawan akan menyebabkan seseorang itu tersalah dalam menentukan hala tuju hidupnya. Berbeza dengan kawan yang sejati, kawan yang sebegini akan mengingatkan dia kepada akhirat serta menginsafi bahawa dunia adalah tempat melakukan amal sebagai bekalan untuk menghadapi hari akhirat kelak.


Sepanjang pengajian saya di Bumi Yaman, saya turut mendapat beberapa orang sahabat yang amat menarik keperibadiannya. Teringat saya ketika pertama kali menjejak kaki ke bumi Yaman. Tanpa disedari telah hampir 2 tahun lebih saya menimba ilmu di bumi Yaman. Banyak kenangan yang didapati ada di antara kenangan yang pahit ada yang sebaliknya namun yang pastinya ia adalah pengalaman yang mematangkan diri sepanjang perjalanan mencapai usia dewasa.


Perkenalan dengan seorang teman yang bernama Ahmad Nabil Fikri sedikit sebanyak menyedarkan diri ini akan keperluan untuk berubah. Seseorang yang murah dengan senyuman, ceria peribadinya, jarang marah serta amat menghargai sesiapa yang bersahabat dengannya. Biarpun mempunyai umur yang jauh lebih muda dari teman-teman serumah yang lain namun dikurniakan oleh Allah mempunyai daya pemikiran yang jauh lebih matang dari kebanyakan manusia yang mempunyai umur yang sama dengannya.


Setelah kepulangan saya ke Malaysia selama 3 bulan atas alasan untuk menjenguk keluarga yang hampir 2 tahun ditinggalkan. Dia juga turut ketinggalan dalam melakukan hal yang sama biarpun tidak bertemu dengannya sepanjang keberadaan di Malaysia atas alasan-alasan yang tidak dielakkan namun tidak pernah sekali empunya diri lupa untuk berhubungan dengannya.


Apabila kembalinya kami ke Yaman untuk menyambung pengajian, saya serta sahabat-sahabat lain dikejutkan dengan berita akan pemergian beliau ke Indonesia dalam masa yang terdekat. Kesibukan bergelut dengan pengajian dan persatuan sedikit sebanyak menghalang untuk lebih meluangkan masa dengan beliau sebelum berangkatnya beliau ke Indonesia.


Selang beberapa bulan, beliau telah berangkat pulang ke Malaysia pada 26 Feb 2011 sebelum menyambung pengajian beliau di Indonesia. Semestinya berita ini datang sebagai tamparan yang hebat kepada seluruh warga rumah. Namun begitu keceriaan beliau sedikit sebanyak menghilangkan hiba warga serumah dalam menghadapi situasi ini. “Beliau memang seseorang yang ceria, detik hatiku”.


Saya khususkan artikel ini untuk sahabat saya Ahmad Nabil Fikri Bin Norhashimi.


“Nabil, perjuangan kita masih jauh namun walaupun jauh sekalipun tidak mungkin kita akan meninggalkan perjuangan yang sama-sama kita dokong ini. Tanamkan dalam hati anta nasihat Hasan al-Banna bahawa tanggungjawab yang kita ada lebih banyak dari waktu yang diberikan kepada kita. Kehidupan ini mungkin ada payahnya namun di sebalik kepayahan itu ada ibrah serta hikmahnya. Belajar bersungguh-sungguh ketika berada di Indonesia nanti. Maafkan segala silap dan salah ana kepada anta kerana ana adalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Biarpun jauh mana sekalipun anta berada ketahuilah ana tetap sahabat anta sebelum dan selepas daripada pemergian anta.”


Saya tidak mempunyai banyak mutiara yang berharga untuk diberikan kepada beliau. Hanya doa serta nasihat yang dapat saya berikan sebagai tanda kenangan serta penghargaan saya kepada beliau.


Akhir kata, semoga Allah mengekalkan kita sebagai sahabat bukan sahaja di dunia tetapi sahabat yang sama-sama memimpin ke syurga di hari akhirat kelak.


Selamat berjuang wahai sahabatku Ahmad Nabil Fikri Bin Norhashimi


Muhammad Ashraf Bin Shamil

Timbalan Presiden,

Persatuan Mahasiswa Al-Munir

Monday, January 31, 2011

Daurah Harakiyyah


Sesungguhnya segala puji hanyalah milik Allah SWT. Dia yang sepatutnya kita puji dan hanya kepada-Nyalah kita meminta pertolongan. Barangsiapa yang diberi hidayah oleh Allah SWT maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Barangsiapayang disesatkan oleh Allah SWT maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah dan petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Pada hari Sabtu yang lepas bersamaan dengan 29 Januari 2011, Ma'ahad Al-Munir telah mengadakan Daurah Harakiyah yang bertempat di Surau Baitul Munir. Program ini diadakan dengan tujuan menjelaskan kepada ahli-ahli tentang kepentingan memahami erti perjuangan menegakkan agama Allah. Ia juga bertujuan memperjelaskan kepada ahli-ahli tujuan mereka memperjuangkan Islam.

Pimpinan Ma'ahad Al-Munir telah mencapai kata sepakat untuk menjemput Ustaz Mujibur Rahman Bin Ishak untuk membentangkan mengenai tajuk ini. Beliau yang berasal dari Pahang merupakan seorang graduan lulusan negara Pakistan.

Harakah yang membawa maksud gerakan juga ditakrifkan sebagai "semasa" yang merupakan salah satu syarat bagi gerakan Islam. Gerakan ini juga mestilah bergerak mengikut kesesuaian zaman. Mengambil rujukan daripada zaman nabi-nabi dan rasul-rasul bahawa Allah SWT telah meletakkan bahawa mereka ini bergerak mengikut suasana musuh pada waktu itu.

Pemuda merupakan aset terpenting dalam sesebuah gerakan kerana mereka merupakan pelapis atau pendokong bagi perjuangan sesebuah gerakan. Ustaz Mujibur Rahman juga menjelaskan bahawa gerakan Islam perlulah dipimpin oleh pemuda. Allah SWT mengisyaratkan dalam Al-Quran tentang peranan pemuda.

Firman Allah SWT :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Surah Al-Kahfi ; 13-14)

Antara syarat-syarat yang perlu ada pada seorang pemuda yang akan memimpin Jemaah adalah:

Pertama : Dia mestilah seorang yang beriman kepada Allah SWT. Seorang yang beriman adalah seorang yang mempunyai ilmu. Untuk beriman seseorang perlulah mempunyai ilmu terlebih dahulu.

Kedua : Seseorang itu mestilah mendapat hidayah dalam mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Hidayah adalah kerja Allah SWT kita tidak berhak untuk memberi hidayah kepada seseorang itu. Sebagai seorang muslim maka kita perlulah menjadi seseorang yang berusaha untuk memberi hidayah kepada masyarakat supaya mentaati Allah SWT dan dalam masa yang sama kita menuntut hidayah daripada-Nya. Oleh kerana, hidayah ini merupakan urusan Allah maka kita perlu mencarinya.

Ketiga : Pemuda itu mestilah mempunyai persaudaraan yang kuat kerana kehebatan sesebuah Jemaah adalah kepada kesatuan manusia yang berada di dalam.

Sabda Rasulullah SAW : Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepadaRasulullah SAW, bersabda Nabi SAW : Tiada beriman seseorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia mencintai dirinya sendiri.

Pemuda perlulah mempunyai sifat tidak mengenal erti kalah melainkan menang ataupun syahid. Kehebatan pemuda zaman dahulu dan sekarang adalah pada keikhlasan mereka dalam memperjuangkan Islam supaya Islam menjadi undang-undang yang mengatur kehidupan.

Kemenangan hanya akan diberikan kepada orang yang ikhlas berjuang adapun kekalahan dalam perjuangan merupakan satu tarbiah daripada Allah SWT untuk menguji siapakah di kalangan makhluk-Nya yang benar-benar beriman.

Selamat Berjuang….

Muhammad Ashraf Shamil

Timbalan Presiden

Persatuan Mahasiswa Al-Munir (PEMUNIR)

Tiada Yang Menang Dan Kalah

Alhamdulillah kerana telah mengurniakan kepada kita nikmat yang paling terbesar iaitu iman dan islam. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat Baginda serta ahli keluarga Baginda.

Pada hari Selasa yang lepas iaitu pada 25 Januari 2011 Ma'ahad Al-Munir telah mengadakan pertandingan nasyid dan sketsa. Pertandingan ini bukan diadakan atas tujuan hiburan semata-mata tetapi ingin menjadikan ia sebagai bukti bahawa Islam tidak pernah menghalang hiburan asalkan hiburan itu tidak mempunyai perkara-perkara yang tidak diakui oleh hukum syarak.

Pertandingan berlangsung selama 2 jam lebih dengan melibatkan semua ahli-ahli Ma'ahad Al-Munir. Pertandingan ini juga menyaksikan setiap ahli tampil dengan kreativiti yang tersendiri dalam pertandingan nasyid dan sketsa. Ada sketsa yang menghiburkan dan ada juga yang menyedihkan.

Kesimpulannya, setiap ahli telah memberi usaha yang paling terbaik dalam setiap pertandingan. Tiada yang menang dan kalah dalam pertandingan ini. Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli dan mendoakan semoga kalian semua istiqamah dalam perjuangan.


Muhammad Ashraf Bin Shamil
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Al-Munir (PEMUNIR)